Soal Jawab

Saya telah membayar zakat pendapatan dari gaji saya. Baki gaji saya simpan dan melebihi jumlah minima perlu dizakat iaitu RM 9,300 dan saya membayar lagi zakat simpanan (2.5%). Jika saya telah membayar zakat bagi simpanan tersebut bererti saya telah membayar dua kali zakat (zakat pendapatan dan zakat simpanan). Saya ada terbaca satu dari asas bayaran zakat ialah ia "tidak dikenakan bayaran berganda". Setahu saya dulu tidak ada mengenai zakat pendapatan tetapi zakat SIMPANAN memang telah tersedia maklum.

Penjelasan mengenai zakat pendapatan dan zakat wang simpanan ini sebenarnya adalah seperti berikut:
Zakat pendapatan dilihat puncanya dari gaji, elaun, bonus, pendapatan sampingan dan hasil-hasil lain yang boleh diertikan sebagai pendapatan.
Manakala zakat wang simpanan pula dilihat puncanya dari wang yang disimpan sahaja.
Zakat wang simpanan dikenakan pada jumlah terendah yang mencecah nisab semasa, sementara zakat pendapatan dikenakan kepada jumlah yang berbaki selepas dibuat penolakan terhadap perbelanjaan asasi.

Dalam masalah ini, kita wajib mengeluarkan zakat bagi kedua-duanya (pendapatan dan wang simpanan). Walaupun wang simpanan tersebut adalah bersumberkan daripada pendapatan gaji yang diperolehi setiap bulan, tetapi perlu difahami bahawa zakat simpanan itu adalah dari sumber dan haul yang berbeza dengan pendapatan yang diperolehi setiap bulan.

Ringkasnya, seseorang yang telah membayar zakat pendapatan, dalam masa yang sama dia masih wajib untuk menjelaskan zakat wang simpanannya apabila wang tersebut telah cukup haul dan nisabnya.
Dia perlu membayar zakat bagi kedua-dua harta yang dimiliki tersebut adalah kerana haul wang simpanan itu adalah berbeza dengan haul gajinya.
Untuk menjelaskan lagi hal ini, kita boleh qiaskan kepada kewajipan membayar zakat emas yang dibeli dari sumber gaji tersebut.
Walaupun gaji/pendapatan telah dizakatkan, emas yang dibeli dengan menggunakan lebihan daripada gaji/pendapatan tersebut juga perlu dizakatkan apabila telah cukup haul dan nisabnya.

Tiada ulasan:

Pengikut